Kau Aku dan Dia 6

Bab 6
            “Sudahlah..Honey..marah kat abang lagi?” pujuk Suffian. Sudah berjam-jam dia memujuk buah hatinya itu, sehingga panas kedua-dua belah telinganya kerana terlalu lama dihempap telefon bimbit.


            Hani mendengus. Marah pada Suffian masih belum reda. Sanggup Suffian buat begitu padanya. Tak pedulikah dia langsung terhadap perasaanya. Dia teringat kembali bila telefon Suffian berdering pada ketika itu. Tanpa berkata banyak Suffian terus menghantarnya pulang, sedangkan mereka baru sahaja mula menonton wayang lewat malam. Bertambah geram apabila didapati bahawa yang akan dibantu oleh Suffian itu merupakan Akma!
        “Honey...dengar tak abang cakap apa ni?” tanya Suffian lagi. Matanya sudah mengantuk.
            “Sanggup Abang buat Hani macam tu,” rajuknya belum habis.
            Suffian menarik nafas. “Honey...takkan abang nak buat tak tahu saja? Dia kan kawan abang,” jelas Suffian sungguh-sungguh. Suffian memang pandai memujuk perempuan. Dia memang pakar dalam bidang itu, Anuar dan Mike pun tak terlawan dengan kepakarannya yang satu ini.
            “Dia ada masalah tadi..”
            “Dia ke orang lain? Lagipun, Mike kan ada?”
“Mike pun ikut abang sekali tadi. Ok sorry. Abang tak buat macam tu lagi. Janji ok? Kalau diorang ada problem ke, nanti abang angkut Honey sekali, ok tak?” tanyanya lagi.
            “Janji?”
“Of course! Tidur enak-enak ye, esok kita nak keluarkan?” pujuk Suffian lagi. Matanya tidak tertahan lagi.
Hani mula menguntum senyum. Tidak sabar rasanya menanti esok hari. Tak sabar hendak melihat lagi wajah Suffian. Dia mahu satu dunia tahu yang dia berjaya menawan hati pemuda kacak itu. Mahu semua orang tahu Suffian kepunyaanya. Biar gadis-gadis lain cemburu melihatnya.
“Oklah. Good Nite,” kata Hani. Senyuman yang terbit tadi masih lekat pada wajahnya.
            “See you tomorrow, sweet dream,” balas Suffian lantas meletakkan telefon bimbit. “Perempuan..” getusnya. Tidak sampai beberapa saat, dia sudahpun terlena.
Hani berasa terlalu gembira menantikan hari esok. Dia mengira-ngira kemana arah tujuan perjalanan mereka keesokan harinya.
*        *        *
            Anuar tidak dapat melelapkan matanya. Puas dia berpusing ke kiri dan ke kanan, tetapi masih belum dapat melelapkan mata. Fikirannya berkecamuk. Wajah Natasya datang silih berganti, wajah yang pernah dirindui dan pernah dipadamkan dalam ingatannya. Kini dia muncul semula membawa semula kedukaan. Mengapakah aku harus bertemu dengannya? Mengapa kini? Mengapa setelah aku buang jauh-jauh kenangan itu?
            Anuar bangun daripada katilnya. Dia memasang semula kamera videonya. Biarlah dia menyunting sedikit temuramah siang tadi ketika matanya ini masih segar. Sekurang-kurangnya dapat juga dia menunjukkan hasilnya kepada Akma esok hari. Boleh juga melupakan gambaran Natasya yang banyak bermain dikepalanya saat ini.
            Dia menyambung kamera dengan kabel terus ke laptop. Lalu, melalui perisian yang ada, dia memuat turun fail tersebut. Agak besar saiznya, jadi dia terpaksa menunggu beberapa ketika sebelum proses itu selesai. Dia melayari internet sementara menunggu. Sempat juga matanya menatap masa yang terdapat pada laptopnya. Hampir pukul 2.30 pagi.
            Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Siapa pula yang telefon pagi-pagi ini? Akma kah? Secara tiba-tiba sahaja nama itu terpacul keluar daripada kotak fikirannya. Nama itu sering meniti difikirannya akhir-akhir ini. Apakah maknanya? Kadang-kadang bila teringatkan Akma dia berasa senang hati. Bila bersama Akma dia merasa gembira. Entahlah. Mungkin juga ini kali pertama dia mempunyai sahabat wanita yang rapat.
            Telefon berhenti berdering. Anuar mengambil telefonnya dan meneliti ‘missed call’ tersebut. Belum sempat lagi dia melihat nombor pemanggil, telefon berdering semula.        
Anuar lantas menjawab panggilan. “Hello.”
            “Anuar ..?” tanya suara di talian yang satu lagi.
“Ya, Anuar bercakap ni.” katanya. Dia cuba mengamati suara itu. Dia pasti itu bukannya suara Akma. Lagipun Akma tidak akan menelefonnya dalam waktu begini.
“You tak tidur lagi?”
“Siapa yang bercakap?” Nuar masih meneka-neka. Dia seakan mengenali suara tersebut.
“Takkan dah lupa kat I kut, baru je jumpa tadi, dah lupakan Tasya ye!” Ngomel Tasya.
            Anuar tergamam. Natasya? Kenapa dia tiba-tiba menghubunginya? Apa pula yang dimahukannya dikala ini?
“Ha..Tasya,” jawab Anuar pendek. Dia tidak tahu bagaimana hendak menyambung kata. Suaranya terkunci. Terbayang wajah Natasya tadi bersama tunangnya, Norman. Sakit hati bertandang lagi.
“Tak sangka ye kita berjumpa lagi.” kata Tasya.
“Hmm..”
“Nuar, you macam taknak cakap dengan I aje,” ujar Tasya seakan-akan merajuk.
            Anuar mengeluh. Dia memang tiada mood langsung untuk berbicara. Bayangan Natasya hanya mengundang kekecewaan dihatinya. Apa lagi yang boleh diperkatakan pada Natasya? Dia mahu membuang jauh Natasya dalam hidupnya. Kalau boleh dia tidak mahu menemuinya lagi.   
“Tak ada apa yang boleh diceritakan. Kenapa you telefon?”


“Saja..” kata Tasya.
“Kalu tak ada apa-apa hal, kita stop kat sini.” arah Anuar dengan tegas.      
“Hey, nanti. Kenapa you ni? Still marah pada I ke? Masih rindukan I?” pancing Tasya sambil ketawa yang dibuat-buat.
Anuar tidak dapat bersabar lagi. Suaranya terus meninggi.
“Aku tak faham apa yang ko cakap.”
“Kenapa macam ni you layan I. Tak sama.” rajuk Tasya.
“Hubungan kita sekarang pun tak sama dengan yang dulu. Jadi jangan harap I layan you macam dulu..” sambung Anuar.
            Tasya diam seketika. Memang ada benarnya kata-kata itu. Dia menarik nafas cuba mengumpulkan kekuatan untuk terus berhadapan dengan Anuar. Setelah 2 tahun berpacaran bersama Anuar dia amat memahami sikapnya yang tegas dan sedikit baran itu.
            “I nak tanya U ni, U dan Akma tu betul ke tunang?” terpacul pertanyaan itu daripada mulut Tasya. Dia masih tidak berpuas hati dengan perkara tersebut. Walaupun mereka tiada apa-apa hubungan lagi, Natasya dapat rasakan perasaan cemburu hadir sedikit di dalam hatinya.
“I tak percaya!” Tasya menyambung lagi.
“Kenapa?” tanya Anuar ingin tahu.
“I tak nampak kemesraan itu. Ke U all kena tunang paksa?” tanyanya lagi.
Sambil lewa sahaja Anuar menjawab, “You buatlah tanggapan apa pun.”       “And really, dia tak sesuai buat U!”
Kata-kata Tasya itu menambahkan sakit dihati. Tasya tidak berhak menentukan jalan hidupnya. Dengan siapa dia berkawan. Siapa kau untuk menentukan semua ini?                     “What do you mean? You bukan yang tentukan hidup I. Suka hati I la nak pilih sapa!” bentak Anuar. Digenggamnya tangan kanannya dan memukul meja.
Tetapi perasaan tidak puas hati masih bersarang di dalam hati Natasya.
“U sendiri pernah cakap dengan I. U ingat tak? U tak suka perempuan bertudung? Lagi, macam enggang dengan pipit, tak padan. She is not beautiful. She is not tall, she is so naïve. Lagi satu apa yang dia pakai. Tak up to date langsung,” ulas Tasya dengan panjang lebar. Daripada nada suaranya, jelas menunjukkan kebencian Natasya terhadap Akma.
“Cukup Tasya. Jangan mengata dia. Dia tak seperti you sangkakan,” Telinga Nuar mula memerah. Marah sungguh dia rasakan bila ada orang mengutuk Akma begitu. Perasaan itu bukannya sengaja dibentuk.


        “What? Betul apa?” Giliran Tasya pula rasa berapi. Oh. Bermati-matian pula mempertahankan gadis itu! Entah betul mereka ni tunang? Marah semacam aje Anuar ni?
            “For me, she is beautiful. That's it. Have you ever heard beauty is coming from the eyes of beholder? No more comments..” kata Anuar lantang. Lancar sahaja perkataan itu lalu keluar daripada mulutnya. Dia tidak merancang langsung mengeluarkan kenyataan seperti itu. Ianya keluar dari hati yang tulus ikhlas.
Tasya mendengus. Dia terpaksa mengalah. Baru dia teringat tujuan kedua dia menelefon Anuar. Walaupun esok masih ada, tetapi dia tidak sabar hendak memberitahu perkara yang satu ini.
“Oklah Nuar. Tujuan I call ni sebenarnya nak jemput you datang ke birthday I di rumah I Sabtu depan,” kata Tasya.
“Kenapa nak jemput I pulak? You know I won’t come,” serius nadanya.


            “You must come. Banyak perkara yang Tasya nak cerita dengan U..Boleh kan..?” Tasya melembutkan suaranya walaupun hati masih lagi berapi. Dia betul-betul mahu Anuar hadir di majlis harijadinya.
“I am not coming. Tak ada perkara yang nak dibincangkan pun. I dah mengantuk. Bye!”
Anuar segera mematikan panggilan tersebut. Dia menghela nafas. Sudah aku cuba buang gambarannya jauh-jauh, kenapa kau sengaja makin mendekati? Perasaanya berbaur.
Ada lampu menyala pada telefonnya. Rupanya ada message masuk.
“Jangan lupa Sabtu depan, rumah I”
            Anuar mengeluh. Sayangnya pada Natasya masih ada. Dia masih tidak dapat melupakannya. Mana mungkin dia dapat hadir ke majlis itu untuk menambahkan luka di hati? Dia tidak dapat membayangkan kemesraan Natasya bersama Norman di majlis itu nanti.
*        *        *
            Akma meletakkan minyak urut dan mengurut perlahan tangannya itu. Lega sedikit rasanya setelah diurut begitu. Sudah lama juga dia membeli minyak urut itu. Lebih kurang setahun lamanya tetapi baru kali ini dia menggunakannya. Entah bila pula dia akan menggunakan sekali lagi.
        Matanya masih lagi belum mengantuk. Jam di telefon bimbitnya sudahpun menunjukkan pukul 2.30 pagi. Esok dia akan bertemu lagi dengan Anuar untuk meyambung kerja. Mereka perlu mengumpul kata sepakat bagaimana bentuk presentation mereka hari Rabu nanti.
            Kertas-kertas yang difotostat kelmarin dilihat satu persatu. Tetapi tiada makna bagi Akma. Dia tidak dapat berfikir banyak. Keletihan seminggu ini masih terasa. Dia perlu berehat dengan sepuasnya malam ini, takut-takut esok dia masih tidak bermaya dan tidak dapat berfikir dengan tajam.
        Akma berlalu menuju ke katil. Dia melabuhkan kepala pada bantal. Melihat tangannya yang memerah tadi, hatinya terusik. Kenangan seminggu bersama Anuar menggamit kembali. Dari mula berselisihan dengannya di atas jalan raya kemudian melepaskan amarahnya dengan menyorokkan topi keledar membuatkan Akma tertawa kecil. Entah bagaimana dia boleh mendapat idea bodoh begitu?
            Selang  sehari, mereka sekumpulan dalam presentation pula. Akma betul-betul tidak senang hati ketika itu. Dalam hatinya yang berbelah bahagi, Anuar datang lagi membantunya ketika dia memerlukan pertolongan. Terlalu banyak perkara yang melanda mereka berdua dalam masa seminggu. Mungkin ada hikmah disebalik semua ini, fikirnya.
        Genggaman tangan Anuar tadi membawa seribu erti walaupun pada mulanya Akma merasa tidak senang atas perbuatannya. Bagaimana rasanya kalau aku betul-betul tunangannya? bisik Akma didalam hati. Tidak mungkin aku akan jatuh hati pada Anuar.Tidak mungkin aku akan jadi tunangnya. 99% tidak mungkin, Akma ketawa. Tetapi kalau betul bagaimana?  Muka Akma berubah. Tidak tidak sama sekali! Jeritnya didalam hati. Tidak mungkin.
            Pengakuan Anuar pada Natasya tadi. Bagaimana Anuar boleh dapat idea bodoh itu juga? Nampaknya mereka masing-masing serupa. Ada kalanya tidak dapat berfikir dengan betul apabila berada dalam keadaan marah dan tertekan.
            Tidak berapa lama kemudian Akma terlena dibuai mimpi indah.
*        *        *
            “So...kita akan edarkan nota kecil pada setiap pelajar. Saya akan present dulu, kemudian separuh lagi awak pula. Bila sampai ke pembentangan dengan isi kita yang terakhir, sebelum kesimpulan, kita paparkan klip video..ok tak?” ulas Akma panjang lebar kepada Anuar. Anuar mendengarnya dengan penuh khusyuk.
            “Hmm...bagus. Saya setuju. By the way, awak dah siapkan slaid presentation dan nota kecil tu?”
            Akma menggelengkan kepalanya. “Belum lagi. Probably today. Saya bukannya ada komputer, kena gi lab nampaknya. Awak dah siap sunting video?”
            “Belum lagi. Tak sempat. Lepas ni saya buatlah. Awak nak pinjam laptop saya? Boleh buat kat dalam bilik, tak payah gi lab. Lab tu tak tentu lagi buka Ahad ni.”
            Kata-kata Anuar membuatkan Akma terfikir semula. Betullah, hari ini hari Ahad. Mana ada lab yang buka?
            “Betullah, Nuar. Terlupa pulak hari ini hari Ahad. Habis awak nak guna macam mana?” tanya Akma pula.
“Tak apa. Saya ada komputer peribadi dirumah. Awak ambillah laptop ni..
Cuaca pagi itu semakin panas. Akma mengambil buku notanya dan mengibas-ngibas mukanya. Tetapi angin daripada kibasan itu tidak dapat melegakan kepanasan yang melanda.
Anuar yang menyedari keadaan Akma terus mengajak Akma ke tempat lain. “Akma. Panas juga disini. Y not kita gi kat belakang Dewan Kuliah Cempaka. Kat situ berangin sikit,” kata Anuar sambil mengangkat topi keledarnya.
            Akma menutup kembali laptop kepunyaan Anuar dan mengangguk.
            “Elok juga tu. Dekat situ teduh sikit, pemandangan pun cantik.”
            Muka Anuar yang sedikit serius tadi mula berubah. Dia seakan-akan tersenyum mengejek. Akma melihat kelakuan Anuar itu dengan rasa pelik. Apa kena pula mamat seorang ini? Tiba-tiba buat muka macam tu?
            “Kenapa gelak?”
“Aku kan jadi sepertimu gunung!” Anuar berteriak. Merah padam muka Akma bila teringatkan kembali insiden tersebut. Terasa malu pada Anuar tiba-tiba. Akma lantas mengambil buku notanya dan memukul lengan Anuar.
“Isk..jangan sebut lagilah. Malulah saya!”
            Tetapi Anuar masih lagi meneruskan tawanya. Sesekali dia melaungkan kata-kata Akma itu sekuat hatinya. Lagilah geram Akma dibuatnya. Akma memukul lengan Anuar beberapa kali dengan buku nota sambil mengejar Anuar yang mula berlari kearah motosikal.
        Setelah tiba di belakang dewan kuliah, Akma terus duduk di kawasan kaki lima  tempat dimana dia menahan perasaan sedih atas perbuatan Hani dahulu. Anuar pula singgah sebentar ke cafe berdekatan untuk membeli minuman. Sementara menunggu, Akma menyunting isi kandungan yang akan dibentangkan nanti. Dia kini cuma perlu memasukkan bahan yang sedia ada ke dalam powerpoint.
            Isk..gatal pula mata sebelah ni, kata Akma perlahan. Dia terasa seperti ada sesuatu menari-nari di dalam mata sebelah kirinya. Akma lantas membuka cermin mata dan diletakkan di atas simen sambil meraba bahagian matanya yang sedikit gatal. Dekat sini tiada pula cermin, keluhnya.
            Seketika kemudian Anuar tiba dengan membawa dua botol minuman. Oleh kerana cermin mata Akma senada warnanya dengan warna simen, Anuar tidak perasan lalu terduduk di atas cermin mata Akma.
            “Apa benda ni?” Tanya Anuar sambil bangun semula dari tempat yang didudukinya tadi. “Ni spek sapa ni?”
            “Nape?” Tanya Akma antara dengar tidak dengar. Dia masih leka menguis-nguis tepi matanya yang gatal itu.
        Sedar Akma tidak menyarungkan spek matanya, tahulah Anuar ia kepunyaan siapa.
            “Spek ni awak punya ke Akma? Dah patah ni.”
            “Apa? Kenapa boleh jadi macam ni?” kata Akma sambil merampas cermin mata itu daripada genggaman Anuar. Dia mula membelek-belek dan menyarungkan semula cermin mata tersebut. Tetapi sudah rosak teruk, tidak boleh digunakan lagi.
            “Alamak! Macam mana ni????” jerit Akma sambil membelek spek itu lagi. Dia bingung. Tanpa cermin mata, dunianya kelabu. Dia tidak dapat melihat dengan jelas keadaan disekeliling. Kalau orang buta memerlukan tongkat untuk berjalan, samalah sepertinya. Cermin mata itu seolah-olah tongkat buat dirinya.
            Akma mengecilkan mata untuk memfokus. “Alah, Tak boleh nampaklah!” komennya lagi. Tangannya terkial-kial menyentuh dinding dibelakangnya.
            Sedang tangannya merayap memegang dinding, entah bagaimana dia tersentuh muka Anuar. Anuar pula seperti batu tidak bergerak. Seolah-olah mengizinkan perbuatan Akma itu.
            Macam pernah aku rasa perasaan seperti ini, desis hati Akma. Tetapi apa ya? Di mana? Akma mendekatkan mukanya ke tempat yang dipegangnya tadi. Semakin kuat perasaan yang dirasainya itu. Seperti ada sesuatu.
            Tiba-tiba jantung Akma berdegup kencang. Dia dapat melihat mata itu membalas renungannya. Secara pantas, dia teringatkan mimpinya tempoh hari. Adakah dia? Dia yang berada dalam mimpiku itu? Memang tidak sah lagi. Serupa! Tetapi, tidak mungkin. Tidak mungkin! Akma cuba menafikan.
       Dengan pantas, Akma menarik tangannya daripada wajah Anuar. Degupan jantungnya tidak terkawal lagi. Mimpi itu seperti memberitahunya sesuatu. Dia cuba bertenang.

            Anuar yang tadi mendiamkan diri, mula bersuara.
“Cermin mata awak ni dah rosak teruk. Kena ganti yang baru.”
            “Eh..Tak apalah. Saya pergi beli nanti,” kata Akma lantas bangun daripada tempat duduknya. Perasaanya jadi berbelah bahagi. Sama ada ingin terus duduk disitu atau berlalu pergi. Dia takut akan melakukan perbuatan bodoh lagi. Tetapi kalau dia pergi, entah mana pula arah tujuannya nanti. Takut masuk ke longkang pula!
            “Saya yang rosakkan spek awak tu. Saya ganti balik.” kata Anuar.
            “Eh takpelah..tak payah susah-susah..”
            “No. Saya kena ganti. Jom pergi sekarang!” arah Anuar.
            Akma segera menepis. “Macam mana saya nak bawa motor. Saya tak nampak!” sambungnya cuba mengelak. Kalau boleh, dia ingin mencari seribu alasan lagi supaya tidak perlu mengikut Anuar.
            Anuar berfikir semula. Betul juga. Hendak bergerak pun susah. Akma bukannya mahu kalau naik motor bersamanya. Dia pun tak sanggup nak membawa anak dara orang ini naik motor dengannya. Tak pasal-pasal jadi buah mulut orang nanti.
            “Kita naik bas,” putus Anuar.
            “Huh”
            “Kita naik bas turun kat komuter. Y not kita gi Mines? Dekat situ ada kedai spek. Confirm buka hari Ahad.”
            “Takperla, tak payahla...”
“Akma! Jangan nak cari alasan. Suka sangat buat alasan itu ini.. Kan saya yang pecahkan spek awak? Jadi saya akan ganti. Jom! Cepat...!” Anuar bertegas. Dia sudah mula hendak bergerak.
Akma masih membatu. Kerana geram dengan sikap Akma itu, Anuar lantas menarik lengan baju Akma menuju ke perhentian bas.
            Akma hanya mengikut sahaja. Jantungnya masih lagi berdegup laju. Dia tidak dapat berfikir dengan betul ketika itu. Fikirannya hanya tertumpu pada mimpinya tempoh hari.
            Lengan baju Akma dilepaskan sebaik sahaja mereka tiba diperhentian bas. Mujur pagi itu tidak ramai orang. Senang sahaja mendapat tempat duduk. Anuar duduk disebelah Akma. Perasaan bersalah menjalar dengan hebatnya ketika itu.
            Di dalam komuter juga mereka duduk berdua. Akma hanya membisu. Anuar juga begitu. Mereka diam seribu bahasa. Akma hanya memandang keluar tingkap yang kelabu asap itu. Anuar pula berkira-kira bila mereka akan tiba di Mines kerana dia tidak sanggup melihat dua orang gadis dihadapannya yang berbisik sesama sendiri dan sesekali tersenyum malu-malu padanya.
“Nak ke England Optical ke nak ke Focus Point?” tanya Anuar apabila mereka tiba di Mines.
Akma mengangkat bahu. “Entah mana-mana pun boleh. Saya selalu beli spek kat kedai spek biasa sahaja.” Perasaan berdebar Akma sudah mula reda. Dia cuba tidak mengendahkan bayangan mimpi itu lagi. Dia tolak jauh-jauh dan menafikan sekeras-kerasnya perasaan yang wujud tadi. “Mahal tak spek kat situ?” tanya Akma lagi.
“Biasa saja...”
Anuar masuk ke dalam kedai Focus Point yang tidak berapa jauh dari situ. Dia meneliti cermin mata yang tersusun dalam meja bercermin, lalu duduk di salah sebuah meja yang berada disitu. Akma menuruti dan duduk di sebelahnya.
            “Pilih mana satu yang berkenan di hati,” kata Anuar lagi sambil menunjuk ke arah cermin mata yang banyak itu.
Pembantu kedai duduk dihadapan mereka. “Yang ini semua keluaran terbaru.” terangnya.
        Akma memfokus ke dalam meja bercermin dan mencari cermin mata yang diminatinya. “Wah! Mahalnya!” secara spontan dia bersuara bila dilihatnya harga cermin mata itu semuanya bernilai lebih lima ratus ringgit. Akma mula berasa berbelah bagi.
            “Mana mahal sangat!” balas Anuar sambil melihat disekeliling kedai tersebut.
            Pembantu jurujual manyampuk, ”Apa salahnya mahal sedikit. Kualiti dan lebih tahan. Lagipun ada pakwe sanggup belikan..oklah tu.”
Akma menelan air liur. Dia menggelengkan kepala. “Dia kawan saya saja.”
“Ye ke dik? Takkan kawan sanggup berbelanja banyak untuk adik ni?” Katanya
sambil tersenyum lagi.
Akma mula merasa tidak selesa dengan kata-kata itu. Kenapa semua orang menganggap mereka ber 'couple'?
“Kak! Contact lense tu berapa harga?” tanya Anuar sambil menunjukkan ke arah contact lense Acuvue yang berada tidak jauh daripadanya.
“Murah dik. Kita ada sale bulan ni. Yang ni memang tahan. Dalam seratus lebih aja harganya,” terangnya lagi. Mata Anuar masih tidak lepas memandang Akma yang masih lagi leka memilih cermin mata dari satu meja ke satu meja yang lain.
            Anuar tersenyum sendiri melihat Akma. Terhibur sungguh dia dengan gelagat Akma yang mencuit hati dan menghiburkan. Tiba-tiba senyuman itu melebar lagi bila dia teringatkan kembali senyuman Akma yang manis semasa dia merakam wawancara semalam. Wajahnya kelihatan bercahaya bila tersenyum. Pandangannya pada Akma ketika mereka saling merenung tadi juga bisa membuat hati lelakinya runtuh seketika. Selain daripada mempunyai senyuman yang menawan, Akma juga mempunyai sepasang mata coklat yang sungguh cantik. Gabungan keduanya memang bisa mencairkan. Tetapi kedua-duanya tersembunyi disebalik wajahnya yang bercermin mata.
            “Nuar! Beli spek murah je ni cukup lah,” kata Akma sambil menunjukkan cermin mata yang dipilihnya. Anuar membelek cermin mata itu dan menggelengkan kepalanya.

            “Nope. Saya nak belikan awak contact lense.” katanya tanpa berselindung lagi.
            Akma menggelengkan kepalanya pula. “Heh. Tak reti pakailah. Leceh!”
            Bahu Akma dipegangnya dan memaksanya duduk. Dia merenung Akma dalam-dalam. Akma membalas renungan itu seketika, dan kemudian mengalihkan pandangan daripada mata yang kuyu itu kerana jantungnya mula bergetar semula.
            “You have beautiful eyes. You should wear contact lense.”
“Apa yang Nuar cakap ni. Apa cantiknya. Hani selalu kata Akma lagi elok memakai spek. Lagi nampak genius.” sambung Akma lagi. Dia teringat kata-kata Hani tidak lama dulu.
Anuar mula ketawa. Geli hati dia mendengar kenyataan Akma. “Macam budak kecikla awak ni Akma. Kalau dah pandai tu tak payah nak nampak genius. Orang dah tahu bila mengenali kita.”
Terdiam Akma dengan kata-kata Anuar. Suka hatilah kau Anuar, malas nak bertekak lagi. Lagipun, contact lense itu tak semahal cermin mata yang berderet tadi. Kira oklah tu, beli sajalah.
Setelah bersetuju, Akma menjalani pemeriksaan mata bersama optometrist untuk memeriksa power contact lense yang perlu dibeli. Kemudian, pembantu jurujual membantu Akma memakai contact lense. Menggigil tangan Akma mencuba. Takut sakit matanya kalau tidak memakai dengan betul.

        “Lambat lagi ke cik puan. Dah berjam tunggu ni!” ejek Anuar bila dilihatnya Akma terkial-kial mencuba contact lense yang dibeli tadi.

        “Sapa yang suruh beli contact lense lagi. Rasakan!” jawab Akma membalas, sedangkan dia yang merasa sungguh terseksa sekarang ini. Setelah berjaya mengenakan kedua-dua belah contact lense, Akma melompat kegembiraan. Tetapi senyuman itu pudar semula bila mengenangkan yang dia terpaksa membuka dan memakainya semula setiap hari! Lecehnya..

        Anuar mengajak Akma berjalan sebentar di sekitar Mines. Pemandangan disitu cantik, terutama sekali dengan tasik buatan manusia disepanjang kompleks membeli belah itu. Sedang mereka berjalan, Anuar terhenti seketika bila tiba di hadapan sebuah kedai emas putih. Dia memerhatikan sesuatu disebalik cermin. Akma dapat melihat seutas rantai putih bertakhtakan berlian yang sungguh cantik didalamnya. Lihat sahaja harganya, boleh terduduk Akma.

        Lama juga Anuar merenung rantai itu sehingga Akma pelik melihatnya. Hendak beli untuk diri sendiri ke? Gila apa? Mana ada lelaki pakai rantai emas? Nak beli untuk mak dia kot. Bermacam-macam andaian yang keluar daripada fikiran Akma, masih meneka apa sebenarnya yang menarik minat Anuar terhadap rantai itu.

“Sabtu depan birthday Tasya,” Secara spontan Anuar bersuara seolah-olah dapat membaca fikiran Akma. Renungannya masih tertumpu pada rantai itu. Kini fahamlah Akma kenapa Anuar melihat rantai tadi tanpa putus-putus.

        “Ermm..nak belikan dia rantai ke?”

        “Tasya memang suka rantai terutama emas putih,” sambung Anuar lagi.

        “So, belikanlah sebagai hadiah birthday,” kata Akma teragak-agak bila teringatkan harga rantai yang mahal itu.

        “Entahla..Tak tahu. Dia ada ajak pergi birthday dia.”

        “Ha..pergila. Orang dah mengajak tu!”

        Anuar memandang Akma. Dia seolah-olah terfikirkan sesuatu. Elok juga kalau dapat membawa Akma sekali. Sekurang-kurangnya, tidak terasa sakit hati sangat. Lagipun Tasya tidak sukakan Akma. Inilah peluang untuk menyakiti Tasya pula.

        “Kita pergi sama,” Anuar memberi cadangan.

Mulut Akma terkunci. Kalau boleh dia tidak mahu berjumpa dengan Natasya lagi. Akma dapat rasakan sikap dingin Natasya terhadapnya. Dia seolah-olah tidak suka Akma berdampingan dengan Anuar. Lagipun, kalau dia pergi tentunya sebagai tunang Anuar lagi. Dia tidak mahu lagi dipegang-pegang sesuka hati seperti hari itu!

        “Jom masuk!” ajak Anuar.

        Mereka masuk ke dalam kedai bersama. Kaya betul Anuar ni. Wang beribu itu tidak bernilai baginya. Iskk..kalau dapat kat aku tentu pergi melabur kat ASB ke, Unit trust ke lagi elok desis Akma.

        Anuar berjalan melepasi rantai berlian tadi. Dia melihat satu persatu barang kemas yang ada didalam kedai itu. Akma menuruti sahaja ke mana Anuar pergi. Dia turut terpegun dengan rekaan barang kemas yang nampak sofistikated dan simple. Kalau berduit, tentu dia akan membeli juga, tetapi untuk diri sendirilah.

        Setelah berpusing dua kali melihat koleksi yang ada, Anuar berhenti di meja yang mengandungi berbagai bentuk cincin. Dia memandang Akma.

       “Akma rasa yang mana cantik untuk hadiah?” tanya Anuar sambil menunjukkan cincin-cincin tersebut. “Jangan fikir mahal ke murah. Just pilih mana yang nampak elok pada pandangan Akma.” ulasnya kerana dia tahu sikap Akma yang amat ‘particular’ dengan harga barang-barang yang mahal. Tentu mulutnya tidak habis mengomel nanti.

        Akma meneliti satu demi satu cincin tersebut. Matanya melekat pada satu cincin yang sungguh simple tanpa permata. Ianya tidaklah terlalu besar atau terlalu halus.

        “Yang ni,” tunjuk Akma pada Anuar. Pembantu jurujual mengeluarkan cincin tersebut daripada ruang pameran dan menyerahkan pada Akma. Akma mengambil cincin itu dan memberikannya pada Anuar pula.
Anuar menolak. “Pakai.”

        “Ha? Buat apa?” tanya Akma. Terkejut pun ada.

        “Saja nak tengok elok tak pada jari Akma. Jari saya besar mana muat nak cuba!”

        Hendak tak hendak Akma terpaksa menyarungkan cicin itu ke jari manisnya. Perasaan bersalah mula menyelubungi Akma. Ada ke patut aku yang pakai cincin untuk Natasya ni sebelum tuannya?

        “Just nice!” kata Anuar. “Berapa tokey?”

        “Ini lebih kurang lima ratus”

        Terbeliak biji mata Akma dengan harga itu. Membazir betullah dia ni. Habis duit mak bapak dapat anak macam ni.

        Anuar mengeluarkan nota lima ratus ringgit dan menyerahkan pada pembantu kedai. Pembantu kedai mengeluarkan kotak cincin dan memasukkan ke dalam kertas plastik berwarna biru muda.

        “Masukkan balik dalam kotak,” kata Akma sambil mengeluarkan semula bekas cincin tersebut daripada beg plastik.

        “Cincin ni untuk awak, pakai ajela,” Anuar mula bersuara. Beg plastik tadi diambil daripada tangan Akma, lalu keluar daripada kedai.

        Akma mengejarnya dari belakang. Apa semua ini?

        “Anuar! Apa semua ni. Bukan untuk Tasya ke cincin ni?” marah Akma.

        Anuar yang berjalan dihadapan berpusing melihat Akma. “Kan dah saya kata saya beli untuk awak?”

        “Kenapa beli untuk saya? Untuk apa?”

        “Kalau lelaki bagi cincin tu maksud dia apa?” Keluar sudah senyuman nakalnya itu.

        “Anuar, Akma tak fahamlah. Cincin ni mahal. Jangan nak membazir!”

        “Ha..nak start membebel pasal harga lagi!”

        “Anuar! Ambik balik!” bentak Akma sambil menyerahkan cincin itu semula pada Anuar. Perasaan marah wujud secara tiba-tiba. Seperti orang bodoh dia rasakan sekarang ini. Seperti sedang dipermainkan oleh Anuar pula.

        “Kalau nak main-main ngan Akma pun janganlah sampai beli cincin mahal ni!”

        “Sapa kata main-main?” tanya Anuar sambil mendekatkan dirinya pada Akma.

        “Nuar! Tolonglah!” teriak Akma tidak tertahan lagi. Dia tidak sanggup menerima hadiah yang mahal itu.

        “Hahahahahahhah” gelak Anuar dengan kuat, lantas mencapai cincin itu daripada tangan Akma.

        “Kan Akma ni ‘fake’ tunang Anuar. Jadi kenalah ada cincin. Akma nak Tasya tanya lebih-lebih ke kalau dia tak nampak sebarang cincin pada jari Akma nanti?” soal Anuar pula.

        Akma menarik nafas lega kerana pemberian itu tidak memberi apa-apa makna. Tetapi kalau ya pun kenapa tak cari cincin yang lebih murah?

        “Kalau ya pun kenapa tak cari cincin yang lebih murah? Bawah sepuluh ringgit pun ada pe.” kata Akma lagi.

        “Takkan nak beli cincin silver kot. Tasya particular benda-benda macam ni. Dia tahu mana yang tulin dan mana yang palsu.”

        “Penting sangatkah?”

“Ya. Nuar takkan biarkan dia hidu perkara sebenar,” jelas Anuar.

        Sambungnya lagi,” So pakai cincin tu. Buat masa ni ia kepunyaan Akma.” Anuar menyerahkan kembali cincin tersebut pada Akma untuk dipakai. Sudah habis daya Akma bertegas untuk tidak memakainya, tetapi tidak berjaya. Dia terpaksa menyarungkan semula untuk memuaskan hati Anuar.

        Mereka bedua berjalan beriringan naik ke tingkat atas. Akma sedikit teruja apabila melihat gelanggang ice skating tersergam dihadapannya. Dia berlari kecil ke tepi gelanggang dan melihat orang ramai yang leka bermain ice skating. Senyumannya melebar. Sudah lama dia tidak skating. Kalau main kali ini, tentu dia akan menjadi calon beginners semula.

        “Awak suka main permainan ni ke?” tanya Anuar apabila dia tiba disebelah Akma.
       
        “Ya. Suka .. kenapa?”

        “Budak-budak je yang main permainan macam ni..” Anuar menjawab dengan selamba pertanyaan Akma. Merah padam muka Akma mendengar jawapan itu.

        Anuar ketawa lagi bila melihat muka Akma yang menahan geram. Suka betul hatinya dapat menyakat Akma sekali lagi.

        Tidak berapa lama kemudian, seseorang datang ke arah mereka.

        “Bang, kita ada promotion for couples today. RM10 for both .. main sampai 3 jam. Then ada contest lagi..”

        “Really?”

        Anuar mengambil tiket tersebut daripada tangan gadis itu tadi. Dia meneliti kertas promotion tersebut.

        “Nak bayar kat mana?”

        “OK. Abang ambil kupon ni dan bayar kat kaunter sana. Bawa teman abang sekali. Thanks bang,” katanya lagi sambil berlalu mencari pasangan lain.

        “Jom...” ajak Anuar. Akma memandang Anuar seakan tidak percaya dengan tindak tanduknya. Apa sebenarnya yang tidak kena dengan Anuar hari ini? Dia banyak melakukan perkara yang tidak masuk akal. Beli contact lense, cincin dan sekarang mengajak dia bermain ice skating pula? Sengaja nak ambil hati aku ke?

        Mereka diberi handband berwarna maroon yang boleh ditulis perkataan bagi membezakan mereka dengan pasangan lain. Anuar berkira-kira hendak menulis perkataan apa di atas band itu. Tiba-tiba idea menarik keluar daripada kepalanya. Dia menulis perkataan gunung pada band tersebut.

        “Ler...takde perkataan yang menarik lagi ke nak ditulis?” komen Akma. Dia tahu Anuar sengaja menulis perkataan itu untuk mengenakannya.

        “Perkataan ni kan simbolik pada awak..” kata Anuar sambil mengenyitkan matanya. Akma menarik muka masam, tidak larat hendak melayan usikan Anuar lagi.

        Setelah meletakkan barang ke dalam almari berkunci dan memakai sarung tangan dengan kasut skating, mereka mula masuk ke gelanggang. Belum sempat Akma berjalan lebih jauh, dia sudah jatuh tergolek di atas lantai yang berais itu. Anuar ketawa.

        “Kata pandai skating..” ajuknya.

Akma menjeling tajam ke arah Anuar. Mahu sahaja dia menjahit mulut Anuar supaya dia tidak dapat membuka mulutnya lagi.

        Renungan tajam Akma itu membuatkan Anuar berlalu meninggalkan Akma. Dia berpusing-pusing mengelilingi gelanggang dengan cekap. Akma memandangnya tidak puas hati. Kata permainan budak kecil. Dia pula yang melebih-lebih.

        Akma meniti perlahan-lahan. Dia perlu cepat belajar kerana masa yang diperuntukkan tidak lama. Dulu semasa ke sini pun dia bermain hampir lima jam.

Dia memegang tempat berpaut yang disediakan dan mula berjalan sedikit demi sedikit. Kadang-kadang bila terasa hendak jatuh, dia akan berhenti bergerak dan cuba menstabilkan diri. Malu juga bila dilihatnya ramai orang yang memerhatikan dan ada yang mentertawakannya.

        “Give me your hand,” Tersentak Akma apabila Anuar berdiri di depannya sambil menghulurkan tangannya yang bersarung itu.

        “No need,” kata Akma berlagak sombong. Tangannya masih memegang tempat berpaut.

        “Sombong ye cik adik. Apa nak dimalukan. Saya tension betul tengok awak main. Lembab betullah.”

        ”Ingat, kita ada masa 3 jam je tau. Karang tak puas pulak! Baru nak pandai main dah kena berhenti. Orang nak tolong tak mahu!” sambung Anuar lagi dengan sinis sehingga perit telinga Akma mendengarnya.

        “Tak nak!” jerit Akma. “Tak faham-faham lagi ke?”

        Anuar mengangkat kedua belah tangannya tanda mengalah. Dia kemudian meninggalkan Akma berseorangan kembali.

        Setelah setengah jam, Akma sudah mula dapat rentak dan dapat bermain tanpa memegang apa-apa. Gerakannya masih perlahan, tetapi sekurang-kurangnya dia berjaya atas usaha sendiri. Sesekali Anuar datang dekat padanya dan mengajak berlumba. Akma hanya menggeleng-gelengkan kepala kerana dia masih belum dapat meluncur dengan baik.

        Tiba-tiba entah dari mana datangnya seorang lelaki berbadan besar menuju ke arahnya dengan laju. Rupa-rupanya ada seseorang telah menolak lelaki tadi yang masih tidak pandai bermain. Akma cuba melarikan diri daripada dilanggar tetapi tidak berjaya. Badan lelaki itu terkena tepat pada belakangnya. Dia sudah hampir terjatuh apabila ada tangan menariknya ke hadapan. Akma mendongakkan kepala untuk melihat siapakah gerangan yang berjaya menariknya daripada terjatuh. Anuar rupanya. Walaupun dia berjaya diselamatkan daripada dihempap lelaki besar tadi, tetapi lain pula jadinya. Anuar pula terlanggar sesuatu lantas mereka berdua terjatuh juga di atas laluan berais itu. Akma ketawa tanpa henti melihat Anuar terduduk bagaikan nangka busuk.

        “Oooo..ketawakan orang ye!” kata Anuar sambil menarik Akma bangun semula. Dia turut ketawa bersama-sama Akma.

        “Eh..tak boleh ke? Sekali sekala bagilah orang lain chance pulak nak ketawakan awak,” balas Akma sambil menjelirkan lidah mengejek.

        Dengan secepat kilat, Anuar lantas memegang tangan Akma dan membawanya berlegar-legar di gelanggang ais yang besar itu. Akma menjerit seketika kerana Anuar bergerak dengan lajunya sehinggakan perutnya terasa geli dan ngilu. Walaupun begitu, Akma terus menikmati masa itu dengan gembira. Dia mahu menggunakan masa itu sepenuhnya bersama Anuar. Hatinya yang sedikit keras tadi menjadi lembut secara tiba-tiba.

        Akma memandang Anuar sekilas. Wajah tampan itu telah mencuri perhatian Akma kini. Entah mengapa dia berasa selamat bila berada disamping Anuar. Walaupun mereka saling bertikam lidah, tetapi ia menjanjikan satu pengalaman yang manis buat Akma kemudiannya. Adakah aku sudah jatuh cinta kepadanya? Benarkah apa yang kurasa ini?

        Akma menggelengkan kepalanya. Tidak. Aku tidak mungkin jatuh cinta kepadanya. Mungkin ini semua hanyalah perasaan sayang sebagai sahabat. Ya. Tidak mungkin ia pergi lebih jauh merentasi garisan sempadan itu. Mungkin Anuarlah pengganti Hani, yang dapat berkongsi segala suka dan duka bersama.

        “Akma? Tengah fikir apa tu?” sergah Anuar sedang mereka mengemas semula barang yang dipinjam untuk skating tadi. Akma hanya tersenyum sahaja.

        Anuar dapat melihat wajah bercahaya Akma itu sekali lagi. Itulah yang dinanti-nantikan oleh Nuar sepanjang hari. Akhirnya, terpancar jua.

No comments:

Post a Comment