Kau Aku dan Dia 10

Bab 10
Farid menaikkan tangannya ke atas, menggeliat. Badannya sudah lenguh. Fikirannya mula sudah tepu. Hampir seharian dia duduk di pejabat membaca dan menandatangani dokumen yang tersusun tinggi di atas meja. Memang benar kata orang, lagi tinggi pangkat seseorang, lagi tinggi kekuatan mental dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Dia terpaksa berfikir dengan tajam dan pantas untuk semua keputusan yang terpaksa diambil demi syarikat. Memang amat memenatkan. Itulah sebabnya dia memerlukan tidur yang cukup sepanjang malam.  
Jam di dinding direnungnya. Sudah menginjak ke pukul 9.00 malam.
“Maybe..I should go home.” Kata Farid sambil menutup dokumen yang dibaca. Dia lantas bangun daripada kerusinya dan keluar daripada pejabat. Setelah masuk kedalam kereta, dia bersandar sebentar melepas lelah.
Esok dia akan ke majlis sepupunya. Itu bermakna dia mempunyai 2 hari untuk berehat dan melupakan tentang kerja seketika sebelum minggu bekerja seterusnya. Senyuman terukir dibibirnya apabila memikirkan perkara itu.

        *
        Suasana malam itu sungguh ceria. Adik beradik ibu Akma yang seramai tiga orang itu sibuk memasak untuk majlis pertunangan Anita esok. Akma tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan mereka. Sudah lama rasanya mereka tidak berkumpul sebegini. Masing-masing sibuk dengan kerja dan keluarga masing-masing.
Alangkah gembiranya sekiranya abah masih ada. Tentu akan lebih meriah dengan suara abah yang sentiasa berlawak jenaka. Kerinduan mula terbit dalam hati Akma. Sudah tiga tahun abahnya meninggalkan mereka sekeluarga kerana sakit paru-paru. Abah pernah berpesan kepadanya untuk menjaga ibu dan Anita, serta belajar dengan bersungguh-sungguh supaya masa depannya terjamin kelak. Sejak dari itu, azamnya untuk berjaya semakin kukuh dan menebal dalam diri.
“Hah..menung lagi.” Tiba-tiba lamunannya terganggu. Rupanya Maklong yang menegur. Akma hanya membalas teguran itu dengan senyuman di bibir.
“Ha..Nita dah nak bertunang esok. Kamu bila lagi?” soal Mak Long sambil mencuit lengannya. Akma tersentak.
“Belum sampai masa lagi la Mak Long! Tunggu je lah. Biarlah Nita selamat dulu.” Jawab Akma tanpa ragu-ragu sambil tangannya ligat mengupas bawang yang terlonggok depan mata.
Mak Ngah pula menyampuk, “ Dah ada calon belum?”
Pertanyaan daripada Mak Ngah membuatkan Akma terdiam sebentar. Wajah Anuar tiba-tiba menjelma.
“Tak ada lagi.” Balas Akma, perlahan sahaja.
“Iskk…kamu dah nak masuk 22 tahun, tak carik-carik lagi ke?” Mak Su pula bersuara. Wajah itu seakan tidak percaya.
Akma hanya mampu menggelengkan kepala. Memang benar dia tidak pernah mencari dan tiada orang pula yang menanti.
“Aku dah kata berkali-kali Su, zaman sekarang bukan macam dulu lagi. Perempuan kena pandai ambil peranan. Cari pasangan hidup sendiri. Dia tu masih nak duduk zaman batu lagi.”
Bicara pedas daripada Puan Fatimah masuk menyucuk hatinya. Penuh dengan sindiran. Dia tahu ibu masih tidak berpuas hati dengan jalan yang dipilihnya. Akma membisu.
“Dengar kata Mak Long ni. Betul kata mak kamu tu. Jangan menyesal jadi andartu pulak nanti.”
Nasihat daripada Maklong itu disambut dengan ketawa oleh mereka yang lain. Akma hanya tersenyum meleret sedangkan dalam hati hanya tuhan yang tahu.
“Ha..nanti kalau carik tu carik yang macam bakal tunang adik kamu tu. Berharta. Hidup senang nanti.” Sambung Mak Su. Ibu saudaranya yang lain mengangguk tanda bersetuju.
“Kalau tak dicarinya juga lepas habis belajar, saya yang akan carikan untuk dia Su.” Kata ibunya pula. Keras, mendalam bunyinya. Akma tahu kalau itulah hajat emaknya, pasti dia akan berhabis daya untuk melaksanakan impiannya itu. Akma faham benar dengan sikap ibunya.
“Akma nak ke bilik air kejap.” Akma meminta diri kepada semua. Dia mahu mengelak daripada terus berbicara tentang soal jodoh. Hajatnya ke bilik air dilupakan. Sebaliknya, kakinya melangkah ke bilik tidur.
Akma membaringkan diri di atas katil. Fikirannya kusut. Mengapa ibu tidak mengerti hasrat hatinya?
“Buat apa belajar, Ma? Nanti akhirnya masuk ceruk dapur jugak. Elok kalau kahwin aje. Mak ada ramai calon.”
“Ma taknak. Ma nak belajar dulu. Ma nak cari duit dengan hasil Ma sendiri.”
“Kenapa degil sangat? Orang perempuan tak ke mana belajar tinggi-tinggi.”
“Mak. Ini hasrat ayah. Ini untuk masa depan Ma dan keluarga kita juga.”
“Buat apa kau nak ikut hasrat ayah kau tu. Dia bukannya ada lagi!”
“Mak! Cubalah berfikiran jauh mak.”
“Pandai kau nak ajar mak. Mak lebih dulu makan garam daripada kau tau!”
Akma menutup matanya, memikirkan pertengkaran kecil yang dilalui bersama ibunya beberapa tahun yang lepas.
“Mak. Bayangkan kalau Ma kahwin, lepas tu bercerai. Mak rasa Ma dapat tak harta suami Ma yang banyak tu?”
Ibunya terdiam seketika. Mungkin terfikir ada benarnya pendapat yang keluar daripada mulut Akma ketika itu. Apa akan jadi sekiranya dia diceraikan atau ditinggalkan tanpa harta?
Beberapa hari kemudian, ibunya membuka kembali topik yang sama. Kali ini dengan pendekatan yang berbeza. Ibunya tersenyum sepanjang bicara.
“Mak izinkan kau belajar..”
“Betul ke mak?” Akma seolah-olah tidak percaya. Berkali-kali dia mengulangi pertanyaan itu kepada ibunya.
Ibunya mengangguk. Walaupun gembira dengan perkhabaran baru itu, Akma dapat rasakan seperti ada sesuatu yang terselindung disebaliknya.
“Ya, mak izinkan..tapi dengan syarat.. kau cari bakal suami dekat universiti nanti. Kau pun tahu suami macam mana yang mak maksudkan.”
“Mak!” Sudah diduga ‘ada udang di sebalik mee’.
“Huh!” keluh Akma sendirian bila mengenangkan kembali perjanjian dengan ibunya. Disebabkan semangat yang berkobar-kobar untuk menyambung pelajaran, dia tetap juga mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus pilihannya di universiti. Ibu menganggap dia sudah bersetuju dengan perjanjian yang diatur.
Setiap kali Akma menghubungi ibunya dikampung, pasti soalan ini akan diungkit. Akma sudah sehabis daya menepis serangan dan leteran daripada Puan Fatimah akibat jawapan negatif yang diberi. Tetapi perkara ini terpaksa dilalui juga. Puan Fatimah bukan orang lain baginya, Puan Mah adalah ibunya.
Tok! Tok!
Ketukan dipintu menyedarkan Akma daripada ingatan lama itu. Dia segera bangun dan membuka pintu bilik.
“Kak Long!” jerit Nita sambil memeluk Akma. Wajahnya kelihatan berseri-seri. Seolah-olah tidak sabar menanti hari esok.
“Kenapa ni, Nita? Bukannya tak jumpa Kak Long beberapa hari ni..” Tanya Akma apabila Nita meleraikan pelukan dan duduk di atas katil.
“Saja. Nita dengar apa yang makcik-makcik Nita bebelkan tadi kat Kak Long.”
“Hmm..itu ke sebabnya masuk bilik Kak Long? Nak ‘join the club’ kenakan Kak Long?”
“Bukan sebab tu. Nita nak tanya. Kak Long dah ada boyfriend? Janganlah malu ngan Nita.” Kata Nita mengusik Akma.
Merah padam pipi Akma bila Nita bertanyakan soalan itu. Memang dia tiada teman istimewa. Cuma hatinya telah dicuri seseorang.
“Kak Long tak ada boyfriend. Betul!” jawab Akma bersungguh-sungguh.
“Betul ke ni, Kak? Blushing nampak!” Nita mengusik.
“Betullah, Nita. Siapalah aku!” balas Akma dengan mendedangkan kata-kata yang dipetik daripada lagu Amy Mastura itu. Nita ketawa mendengarnya.
“Kak Long tahu kan syarat mak? Suami jenis mana yang mak nak jadikan menantu? Nita boleh tolong. Sham ramai kawan..ramai saudara..” ujar Nita memberi cadangan.
“No..no..no..not interested!” potong Akma sambil kepalanya digelengkan.
Nita ketawa terkekek-kekek melihatkan respon daripada Akma. Nita faham benar dengan sikap kakaknya. Dia ada prinsipnya sendiri. Mahu berjaya dan memiliki kerjaya sendiri, yang lain perlu ditolak ketepi terlebih dahulu.  
“Dah Nita. Rehat. Besok tak berseri pulak bakal tunangan orang ni! Kak Long nak sambung keje kat dapur.” Akma memberi arahan.
“Hait!” kata Nita lalu masuk ke dalam biliknya untuk menganyam mimpi indah sementara Akma bergegas semula ke dapur untuk membantu ibu saudaranya menyiapkan juadah untuk esok.

“Wah! Berseri-seri Nita hari ni!” Akma menggenggam kedua-dua belah tangannya terpesona melihat wajah adiknya yang cantik itu.
Nita tersenyum simpul apabila diberi pujian begitu. Antara sekejap dia melirik matanya ke cermin melihat wajahnya yang sudah disolek oleh jurumekap. Memang berseri bak peragawati!
“Kak Nora..boleh tolong Nita tak? Solekkan Kak Long saya sekali. Mana tahu kalau ada orang berkenan nanti senang hati mak. Adik beradik bakal mak mertua loaded-loaded belaka.”
“Hish..” Akma membulatkan matanya tidak setuju atas cadangan Nita. Dia menggeleng-gelengkan kepala memprotes. “Tak payah, tak payah Kak Nora.”
Nora menarik tangan Akma duduk di lantai. Akma menarik semula tangannya. Dia sudah bersedia untuk keluar daripada bilik Nita apabila Nora menariknya semula untuk duduk.
“No..” kata Akma lagi.
“Please, Kak Long. Untuk Nita.” Pujuk Nita. Dia mula mengeluarkan muka kasihannya sehingga Akma berasa serba salah. “Kak Nora, solek sikit je ye. Nanti kang takut orang ingat Kak Long pulak yang bertunang..” perintah Nita sambil mengenyitkan mata kepada Akma.
Dengan rasa berat dihati, Akma mengikut sahaja walaupun hatinya memberontak. Bayangan pakcik-pakcik atau duda-duda yang kegersangan bersilih ganti di dalam kepalanya. Oh, Tidak!
Nora memulakan solekan sambil tersenyum melihat kedegilan Akma. Budak ni ada kecantikan yang tersendiri, tetapi tidak tahu cara hendak menonjolkan kecantikan dia, bisiknya. Selesai sahaja Akma mengenakan tudung setelah solekan selesai, rombongan pihak lelaki pun tiba. Mereka sekeluarga berbual seketika membincangkan tentang majlis berlangsungnya perkahwinan sementara Akma menghidangkan kuih muih dan minuman kepada tetamu. Nita didalam bilik mula gementar menunggu saat cincin tersarung dijari.
*        *        *
Sedari tadi, mata Farid asyik memerhatikan seseorang. Wajah yang cukup dikenali itu sedang mundar mandir keluar masuk dapur membawa makanan dan minuman untuk tetamu. Gadis itu terlalu sibuk dengan aktivitinya sehingga tidak sedar mata miliknya itu sedang memandangnya tidak putus.
Perbualan antara kedua keluarga didengar antara tidak. Pandangan orang sekeliling padanya tidak juga dipedulikan. Fikirannya asyik memikirkan semula kejadian malam itu, dimana pertama kali dia bertemu si gadis, sedang dalam kesamaran, sedang dalam keadaan tidak menentu, resah.
Gadis itu sesekali melambaikan tangannya, antara mahu atau tidak. Wajahnya sugul seolah-olah ada sesuatu yang menganggu fikirannya. Memikirkan pertolongan daripadanya diperlukan, dia meminta Sudin untuk memberhentikan kereta.
“Minta maaf Encik. Boleh saya minta tolong? Saya nak ke stesyen bas atau komuter berdekatan.” kata gadis itu agak gugup.
“Ehmm..saya minta maaf. Saya perlu hantar tuan saya pulang.” jawab Sudin menolak. Gadis itu terdiam tanpa berkata-kata. Mungkin dia tahu dia tidak bernasib baik kali itu. Mungkin dia perlu meneruskan perjalanan mencari kereta orang lain pula.
Farid menurunkan cermin tingkap kereta, meneliti sigadis. Gadis itu tidak boleh dibiarkan berjalan seorang diri dalam keadaan gelap sebegini. Tidak selamat. Kawasan ini besar dan sunyi. Kalau ada apa-apa yang berlaku padanya tentu dia rasa tidak sedap hati.
“Sudin. Bawa dia masuk sebelah penumpang,” arah Farid pada Sudin. “Kita hantar dia balik.”
Tanpa berlengah, Sudin keluar dari kereta dan memimpin gadis itu untuk masuk ke tempat duduk di belakang, bersebelahan dengan Farid. Ucapan terima kasih berkali-kali keluar dari bibir gadis itu, ditujukan kepada Sudin.
Apabila masuk ke dalam kereta, dia agak terkejut apabila melihat ada seseorang disebelahnya. Gadis itu nampak gundah, tetapi cuba disoroknya.
“Jangan risau. Kami akan hantar awak balik.”
Gadis itu mengangguk. “Terima kasih.”
Pada mulanya, Farid hanya membatukan diri. Dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Gadis ini seperti tidak mahu diganggu.
“Hmm..nama cik?”
Gadis itu diam sebentar sebelum menjawab pertanyaan Farid. “Saya Najwa.”
“Hmm..Saya hantar cik ke rumah. Dekat mana rumah?”
“Tak payahlah Encik. Hantar saya kat stesyen bas atau komuter pun dah cukup.”
“Are U sure? Dah hampir pukul sepuluh ni.”
“Very sure. Rumah saya dekat je dengan stesyen.” Najwa berbohong.       
“Kalau macam tu, saya hantar dekat stesyen komuter. Dekat je dengan sini.”
“Ok.” Pendek sahaja jawapan daripada Najwa.
Beberapa minit kemudian, mereka pun tiba di stesyen komuter. Tanpa melengahkan sedikit masa pun, Najwa lantas membuka pintu kereta dan keluar.
“Terima kasih Encik..”
“Panggil saya Farid. Pleased to meet U.”
“Me too. Terima kasih.”
Najwa menutup pintu kereta dan bergegas menuruni tangga ke kaunter tiket. Kawasan itu agak suram tetapi masih kelihatan ramai orang menunggu tren disekitar. Keliihatan Najwa menarik nafas lega kerana dia tidak berseorangan.
Farid yakin dia tidak tersilap. Inilah dia gadis tersebut. Rupa dan tingkahnya amat serupa. Dia perlu menegur gadis itu. Tetapi benarkah dia? Kalau ya jawapannya, adakah Najwa masih lagi mengenalinya? Pertemuan malam itu cuma sekali, dapatkah gadis itu mengecam dirinya?
Setelah majlis menyarung cincin selesai, para tetamu dijemput untuk menjamu selera. Ibu Akma telah menempah satu khemah untuk para tetamu di perkarangan halaman rumah.
“Kak..” Nita memanggil.
“Ya..ada apa Nita?” jawab Akma. Wajah Nita bercahaya, gembira. Dia menghulurkan tangannya pada Akma untuk melihat cincin dijari dengan lebih dekat.
“Cantik tak?”
“Cantiknya! Cincin ni ke yang dibeli kat KLCC hari tu?” Tanya Akma sambil membelek cincin yang berada dijari Anita. Cahaya permatanya berkilauan, sungguh cantik dan pastinya mahal.
“Ya..”
“Tahnian Nita. Dalam masa 6 bulan lagi jadi isteri..” usik Akma. “Ke Nita dah tak sabar jadi suri?”
Nita mencubit lengan Akma. “Sabar!” katanya sambil ketawa. Mujurlah dia berada di dalam rumah. Kalau tidak tentu menjadi bahan jelingan mak mertua.
“Kak Long..”
“Apa lagi Nita?”
“Pakwe yang duduk sebelah bakal mak mertua tu handsome kan?”
“Mana?”
“Tu..” Nita menudingkan jari telunjuknya pada jejaka yang dimaksudkan.
“Hmm..handsome. Ai takkan baru tunang dah berkenan kat orang lain pulak?”
“Eh apa Kak Long ni. Sham tetap dihati.”
“Habis tu? Nita..mata tu jaga sket!”
“Apa ni kak? Bukan Nita..Nita rasa dia berkenan kat Kak Long lah.”
“Ishh Nita.. Ada-ada ajelah.”
“Dari tadi dok pandang Kak Long. Kalau tak percaya cuba Kak Long curi-curi tengok nanti. Nita masuk bilik dulu. Good Luck!”
“Apa-apa ajelah Nita ni..” bisik Akma. Akma keluar daripada rumah apabila Mak Longnya memanggil untuk menambah lauk dan menghidangnya pada tetamu.
Sedang Akma sibuk menghidangkan lauk dan nasi tambah kepada para tetamu yang hadir, tiba-tiba dia dapat merasakan ada seseorang sedang memandangnya. Dengan perasaan ingin tahu, Akma membalas pandangan tersebut. Sangkanya, mungkin seseorang yang dia kenali. Tetapi telahan Akma meleset sama sekali, kerana dia tidak pernah mengenali pemuda itu.
Si Jejaka kemudiannya tersenyum manis padanya, menambahkan lagi ketampanan wajah yang sedia ada.
Dengan pantas, Akma memalingkan mukanya yang sudah mula pucat dan berlalu masuk ke dalam rumah. Siapakah jejaka itu? Setahu aku, bukan seseorang yang aku kenali. Mungkinkah rakan sekolah lama? Entahlah. Aku tak dapat meneka. Biarkanlah..


Setelah tetamu selesai menjamu selera, Akma mengemas pinggan mangkuk dan lebihan lauk yang berada di atas meja. Hatinya masih lagi tertanya-tanya siapakah lelaki tampan yang tersenyum padanya tadi. Begitu kuat sekali naluri ingin tahu yang menyelubungi dirinya. Walaupun begitu, Akma tidak dapat mendorong diri untuk mendekati pemuda tadi untuk kerana sikapnya yang tidak biasa bergaul dengan lelaki.
“Assalamualaikum..”  Akma menoleh.
Akma menelan air liur. Jejaka yang tersenyum padanya tadi rupanya yang memberi salam. Akma panik, tetapi dia buat endah tidak endah sahaja pada pemuda tersebut.
“Assalamualaikum..” jejaka itu memberi salam buat kali kedua. Akma jadi kelam kabut. Jantungnya berdegup dengan lebih kencang. Oh tidak! Aku lupa menjawab salamnya! Tingkah Akma sendirian. Dia cuba tersenyum tetapi mukanya kaku. Perasaan gundah lebih kuat mengikat diri!
Belum sempat Akma membalas, sidia memberi salam buat kali ketiga.
“Assalamualaikum..Cik Najwa..”  Kali ini beserta namanya. Akma tersentak. Pinggan kotor yang dipegangnya hampir jatuh ke tanah. Nasib baik dia sempat menyambutnya.
Bagaimana dia boleh tahu namaku? Nama kedua pula tu. Jarang sekali dia mengenalkan dirinya dengan nama Najwa, kecuali pada orang yang tidak mahu dikenali atau lebih tepat lagi pada orang yang tidak dikenalinya. Mungkin lelaki ini merupakan salah seorang daripada orang 'yang tidak mahu dikenalinya' itu.
Dengan perlahan-lahan, Akma membalas salam tersebut. Wujud getaran pada nada suaranya akibat debaran yang memuncak. “Waalaikumussalam..”
Entah mengapa masing-masing kemudian membisu. Mungkin mencari apa yang ingin dibicarakan seterusnya.  
“Siapa awak?” Tanya Akma memecah kebuntuan yang wujud. Dahinya berkerut. Dia cukup yakin tidak pernah berjumpa dengan pemuda yang berdiri di hadapannya ini.
Farid berdehem kecil, mengosongkan anak tekaknya yang terasa menganggu suaranya. “Saya Farid. Cik Najwa dah lupa pada saya?” Farid memperkenalkan diri. Senyuman masih tidak lekang daripada bibirnya. Ini menjadikan Akma tidak keruan. Sempat dia memerhatikan kawasan disekelilingnya untuk memastikan tiada siapa yang memerhati.
“Farid?” Akma mengecilkan matanya, dahinya dikerutkan lagi. Seperti pernah didengar nama itu. Siapa ye? Tanya Akma pada diri sendiri. Dia cuba untuk  mengingati dimanakah dia pernah bertemu dengan Farid.
“Ya Farid. Ingat lagi? Kita pernah berjumpa sekali.” Ulas pemuda itu, sekali lagi masih tersenyum manis. Jari telunjuk dikeluarkan bermakna satu atau sekali.
Akma menggelengkan kepalanya. Dia masih tidak dapat mengecam pemuda itu.
“Macam mana nak terangkan ya. Ehmm..macam ni. Ingat tak pada seseorang yang menghantar cik Akma ke stesyen komuter beberapa minggu lepas?” Farid cuba menerangkan point penting supaya Akma boleh mengingati semula kejadian tersebut dengan cepat.
Dengan serta merta, darah naik ke muka Akma. Ya, baru dia teringat. Inilah Encik Farid yang menumpangkannya ke stesyen komuter tempoh hari. Dia tidak dapat mengecam langsung wajahnya. Maklumlah, ketika dia menumpang kenderaan tersebut, dia langsung tidak memandang ke wajah Encik Farid. Walaupun Encik Farid cuba berbual dengannya, dia mengambil langkah untuk tidak melayan secara keterlaluan. Cukup menjawab pertanyaan dengan hanya menjawab sepatah sahaja. Pandangan Akma hanya tertumpu keluar tingkap. Badannya pula dilekapkan pada pintu kereta sementara tangannya mengenggam kuat pemegang pada pintu. Walaupun dia amat berterima kasih atas jasa pemuda ini menumpangkannya hingga ke stesyen keretapi, dia masih berhati-hati kerana pemuda ini masih berstatus 'tidak dikenali'.
Akma terdiam sebentar mencari alasan munasabah untuk lari daripada persoalan itu. Kalau boleh, dia mahu perkenalan mereka cukup setakat malam itu sahaja, tidak mahu diperpanjangkan.
“Saya minta maaf. Mungkin En Farid salah orang. Saya bukan Najwa.” Akma memberi penjelasan sehabis daya supaya alasannya itu dapat diyakini. Tetapi seperti selalunya, Akma bukanlah jenis orang yang pandai berlakon.
Farid dapat melihat ketidaktentuan dalam eskpresi wajah Akma. Walaupun tidak yakin dengan jawapan yang diberikan oleh Akma, ia tetap membuatkan Farid berfikir semula. Mungkinkah benar dia tersilap orang? Senyuman yang terukir pada wajah tampan itu hilang serta merta.
“Saya Akma. Bukannya Najwa.” Sambung Akma lagi, kali ini tampak lebih yakin.
“Ohh..” jawab Farid. “Saya minta maaf. Mungkin tersalah orang. Maaf menganggu. Anyway saya Farid. Pleased to meet U.”
“Me too. Saya pergi dulu..” jawab Akma cuba menguntum senyum. Bahang panas dapat dirasakan naik ke pipinya. Oleh kerana tidak mahu memanjangkan cerita lagi, Akma lantas meninggalkan Farid lalu masuk ke dalam rumah.
Farid yang masih termangu dengan tingkah Akma tadi kemudiannya terus duduk semula dalam kumpulan yang datang tadi. Walaupun Farid melibatkan diri dengan perbualan mereka, dia masih tidak dapat memadamkan ingatannya pada Akma yang baru ditemui sebentar tadi. Entah mengapa dia tidak boleh menerima hakikat itu. Hatinya masih kuat menyatakan bahawa gadis itu adalah Najwa. Suara dan cara dia melafazkan kata-kata tadi memang sama caranya dengan Najwa. Tetapi mungkin juga telahannya silap. Dia bukannya ahli nujum yang bisa mengetahui perihal seseorang. Mungkin pelanduk dua serupa agaknya.       
Sedang sibuk menganalisis tentang Najwa dan hubungannya dengan Akma, tiba-tiba ingatannya beralih kepada Sham. Sham merupakan tunang kepada Anita. Ya! Anita tentunya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Najwa. Dia terfikirkan sesuatu. Hanya satu sahaja cara yang memungkinkan dia untuk mendapat kebenaran hasil daripada perasaan sangsinya tadi. Mungkin dia boleh mengorek sesuatu daripada Sham dan Anita. Dia sudah dapat memikirkan sesuatu. Plan A.

        Farid tersenyum lebar apabila mendapat maklumat terakhir tentang Najwa daripada Sham. Plan A telahpun selesai. Berita terbaru yang didengari daripada Sham  membuatkan hati Farid berbunga gembira.
“This girl is something..” katanya sambil bermain-main dengan pen yang berada dijarinya. “Kenapa dia perlu berbohong? Kenapa dia mengelak?” Berkali-kali persoalan itu terbit daripada kotak fikiran. Perkara itu telah membuatkan perasaan ingin tahu Farid terhadap gadis ini semakin membuak-buak. Semakin kuat hatinya untuk mengenali gadis ini. Tidak dapat ditahan lagi.
Dia teringat kembali apa yang dibualkan dengan Sham sebentar tadi.
“Farid. Apa pasal kau nak kenal sangat dengan kakak Anita ni? Ada sesuatu ke yang ko nak bagitau aku?”
“Nothing la Sham. Cuma dia tak mengaku dia Najwa, someone I knew. Itu yang membuatkan aku curious. Thanks, bro. Sekarang semuanya dah jelas.”
“By the way Farid, aku tanya sekali lagi ni. Kau nak pikat dia ke?”
“Well, just to get to know her better.”
“She is still single and available.” Sham menekan perkataan ‘single and available’ itu supaya maksud yang ingin disampaikan itu dapat ditangkap oleh Farid.
Farid ketawa mendengar kata-kata tersirat yang keluar daripada mulut Sham itu. “Let See..” jawabnya.
Farid membetulkan gagang telefon yang berada telinga kirinya. Kemudian mencapai kalendar yang berada diatas meja.  
“Hmm. Oklah Sham. Thanks for the information dan U know what our next plan...” Farid mengingatkan.
“Jangan risau Farid. Dengan adanya Anita..gerenti beres!” Sham meyakinkan. Anita pernah memberitahunya, Akma sentiasa mengalah dan mengikut sahaja kehendak adik kesayangannya itu.
Gagang telefon kemudiannya diletakkan. Farid menghembus nafas. Jantungnya bergetar laju. Kini dia sudah dapat pastikan identiti Najwa. Dia tidak tersilap telahan tempoh hari. Cuma Najwa yang mengelakkan diri.
Menurut Anita, Akma akan pulang semula ke kampus seminggu lagi. Farid membulatkan tarikh 20 haribulan pada kalendar yang diambilnya tadi dan menulis sesuatu diatas ruang kosong pada tarikh tersebut.
‘Najwa pulang ke kampus’
Farid menandakan bintang pada seminggu hari selepasnya, 22 haribulan. Dia menulis.
‘Najwa Plan B’


No comments:

Post a Comment