Kau Aku dan Dia 1

Bermimpikah aku? Dilihatnya baju gaun yang dipakainya. Putih begermelapan, seakan-akan watak cerita kartun yang digemarinya sejak kecil sehingga kini. Tidak puas menatap baju yang sungguh cantik itu, dia membelek-belek pula skirt labuh yang kembang dan panjang itu. Setiap inci baju itu ditatapnya puas-puas. Sekiranya ada cermin dihadapannya ketika itu, tentu sudah lama dia menari-nari di hadapannya. Rambutnya? Rambutnya yang panjang paras pinggang didandan rapi. Akma mengelus lembut wajahnya dan matanya. Pandangannya jelas sejelas-jelasnya tanpa kaca mata yang biasanya dipakai setiap masa.

Seketika kemudian, kereta yang dinaiki tiba ke destinasi yang dituju. Pemandu kereta segera membuka pintu untuknya.

“Silakan Cinderella..”
“Cinderella?”

Akma masih lagi tidak percaya dengan apa yang berlaku. Aku Cinderella? Itulah nama yang dipanggil padaku oleh pemandu kereta, bisik Akma didalam hati. Dilihatnya kasut yang dipakai. Kalau betul aku Cinderella, tentunya aku memakai kasut kaca, katanya perlahan. Separuh menjerit Akma bila dilihat kasut yang dipakai memang diperbuat daripada kaca.
            
Akma mengucapkan terima kasih kepada pemandu dan terus menuju ke pintu istana yang sudah tersergam indah dihadapannya. Dia melangkah masuk tatkala pintu itu terbuka luas. Akma yakin bahawa ada seorang putera kacak yang sedang menantinya didalam. Prince Charming tentu sedang menantikan kehadiran Cinderella. Tidak sabar rasanya untuk melihat wajah putera tersebut.
            
Sedang melangkah, matanya tertancap ke arah jam dinding besar yang betul-betul terletak di atas dinding bangunan yang besar itu. Sudah pukul 11.30 malam. Lewatnya aku...pukul 12.00 aku terpaksa berlalu, keluh Akma sendirian. Jari jemarinya lantas menekan kekunci telefon bimbitnya.
            
Waktu perlu dikejar. Sekiranya dia memakai seluar ketika itu, tentu sudah lama dia berlari menuruni tangga yang berada di hadapannya. Pakaian yang dipakai ketika itu tidak memungkinkan. Pergerakannya terbatas.
            
Akma melihat dewan itu sesak dengan orang ramai yang memakai topeng baldu. Mereka yang sedang rancak menari tadi terus berhenti apabila melihat kehadiran Akma. Semua mata di dewan tertumpu ke arahnya. Muzik pun turut terhenti. Sunyi dewan seketika. Akma merasa malu diberi perhatian yang sebegitu rupa. Terasa ingin berlari keluar semula meninggalkan majlis tetapi sebaliknya berlaku. Kakinya melangkah turun satu persatu tangga yang amat besar dan lebar itu.
            
Muzik berkumandang semula. Muzik waltz yang tenang memenuhi ruang udara dewan tersebut memang amat mengasyikkan. Akma terbuai dengan alunan muzik sehingga terlupa dengan tumpuan yang diberikan padanya tadi. Dia tidak sedar sedari tadi seseorang sedang menuju ke arahnya.
            
“Sudikah tuan puteri menari dengan beta?”

Suara ditutur dengan lembut sekali, penuh tanda hormat. Akma agak terperanjat dengan sapaan yang diberikan dan terus memalingkan mukanya untuk menatap wajah tuan putera yang dikatakan kacak itu.

“Tuan putera?” Tangan tuan putera yang dihulurkan dicapainya.
“Ya..siapa lagi? Beta memang menunggu kehadiran seseorang seperti tuan puteri.”
        
Akma dapat melihat bibir tuan putera sedang mengukir senyuman. Walau bagaimanapun, Akma tidak dapat melihat wajah di sebalik topeng baldu tersebut. Dari renungan matanya dan susuk badannya, Akma dapat merasakan dia seorang lelaki yang tampan dan segak. Tentulah, gelak Akma sendirian. Seperti dalam cerita fantasi, tuan putera selalunya digambarkan mempunyai ciri-ciri seperti itu.


            
Tuan Putera memimpin Akma ke tengah dewan tarian. Mereka mula menari. Akma cuba menahan gelojak perasaannya.


            
“Siapa nama tuan puteri?”
“Panggil Akma sahaja” jawab Akma malu-malu.
“Gembira dapat bertemu dengan kamu.”
“Saya juga..”
“Dari negeri mana?”
            
Akma terdiam sebentar dengan soalan tersebut. Kepalanya ligat memikirkan apa nama negeri yang perlu diberinya. Hendak mereka cerita, takut putera dapat menghidu pembohongannya.
            
“Err...”
“Ya? Di mana?”
            
Alunan muzik yang perlahan tadi tiba-tiba bertukar ke rancak. Tarian kali ini berubah rentak. Akma bersyukur kerana lagu itu telah dapat mematikan pertanyaan Putera. Mereka mula menari mangikut rentak fast beat. Inilah malam yang paling menyeronokkan dan membahagiakan bagi Akma. Menyeronokkan kerana dapat menghilangkan tekanan dan membahagiakan kerana dapat bertemu jejaka idaman hati. Akma ingin menggunakan saat itu sepenuhnya. Dia takut waktu seperti itu tidak akan berulang lagi.
            
Setelah selesai lagu rancak, irama romantis menyusul.

Tiba-tiba alunan muzik tadi terganggu dengan lagu ala-ala metal. Terperanjat betul Akma. Rupa-rupanya loceng pada telefon bimbit yang di 'set' oleh Akma berbunyi menandakan sudah hampir pukul 12.00 tengah malam.

“Telefon bimbit berbunyi? Lagu metal pulak tu..” kata putera sekilas. Akma hanya mengangguk dan tersenyum kambing.

“Awak sepatutnya mematikan telefon bila berada di sini. Terganggu..” jelas putera. Akma masih tersenyum mendengar kata-kata putera, dia tidak mengendahkan langsung apa yang dikatakan kerana fikirannya sudah melayang merancang strategi.

Aku perlu segera pergi dari sini, bisik hatinya. Hatinya resah gelisah memikirkan apa pandangan putera terhadapnya setelah melihat keadaanya yang sebenar. Walaupun begitu, hatinya turut merasa berat untuk meninggalkan putera kerana dia belum berpeluang mengenalinya dengan lebih dekat. Siapakah kau yang sebenarnya? Wajah siapakah yang tersembunyi itu? Adakah ini jejaka yang kutunggu-tunggu selama ini?


        
“Tuan Putera, patik terpaksa pulang dengan segera. Maafkan patik. Kalau jodoh kita panjang, kita akan berjumpa lagi,” terang Akma sambil cuba melepaskan genggaman tangan tuan putera.


        
Lengan Akma dipegang kuat, tidak memungkinkan Akma untuk berlalu dari situ. 


        
“Mana mungkin beta melepaskan. Majlis belum berakhir lagi. Lagipun Akma baru sahaja sampai,” pujuk tuan putera.


        
Akma cuba sedaya upaya untuk melepaskan pegangan putera itu, tetapi tidak berjaya. Fikirannya tidak menentu lagi, kerana jarum besar di atas dewan sudahpun hampir beberapa saat sahaja lagi ke pukul 12.00. Kerana tiada jalan lain, dia terus memijak kasut tuan putera dengan kasutnya yang bertumit tinggi dan runcing sekuat-kuat hatinya.
            
“Aduh! Apa yang kau buat ni?” jerit tuan putera sambil memegang kakinya yang sakit itu. Terencot-encot dia menahan kesakitan. “Tak boleh jadi ni!” katanya lagi sambil mengejar Akma walaupun kakinya masih lagi sakit. Dia menahan kemarahan yang mula menjalar akibat perbuatan Akma tadi. Pada ketika itu, topeng yang tadi melekat dimukanya ditanggalkan.
            
Suasana dewan turut menjadi riuh rendah dengan perlakuan Akma dan tuan putera tadi.
            
Tanpa melengahkan masa, Akma berlari menuju ke arah tangga. Dia tidak peduli lagi. Dia tidak mahu putera melihat wajahnya. Jam di dinding dewan mula berdenting. Akma sudah mula kecut. Dia dapat merasakan perubahan pada dirinya satu persatu. Kasut kaca yang dipakainya sudah hilang. Dia kini berkaki ayam. Tetapi dia bersyukur juga, tanpa kasut tersebut dia dapat berlari dengan lebih pantas lagi. Tetapi telahannya meleset apabila tuan putera dapat menyainginya dan berdiri betul-betul dihadapannya.


            
“Tunggu!” Tangannya didepakan untuk tujuan menghalang.


            
“Maafkan saya putera. Tolong lepaskan saya. Saya perlu balik sekarang!” tegas Akma. Bajunya yang cantik tadi telah berubah kepada baju kemeja dan seluar jeans yang dipakainya sebelum itu. Rambutnya yang didandan cantik, kini terurai panjang dan kelihatan agak kusut. Matanya sudah mula kabur semula. Rupaku betul-betul hodoh sekarang, fikir Akma. Dia menutup mukanya dengan tangan, tidak mahu dirinya dilihat sebegitu rupa dihadapan putera.
        
“Saya tak akan benarkan. Awak sudah mencederakan saya,” katanya sambil memegang tangan Akma yang sedang menutup muka. Walaupun putera sedikit terperanjat dan keliru dengan perubahan Akma, dia masih tidak berganjak dengan pendiriannya untuk mengenali gadis tersebut.
         
“Lagipun..awak tidak beritahu saya siapa awak yang sebenarnya. Awak tak kelihatan seperti seorang puteri. Kamu nak menipu beta??” Dia menarik sekuat hati tangan Akma yang terbenam kukuh pada mukanya.
            
“Tidak..tak boleh!”
“Apa yang tak bolehnya! Buka tangan kamu sekarang!”
“Saya kata tak boleh tak bolehlah!
“Kenapa tak boleh. Awak cantik sangat ke? Buruk kot?”

Akma yang sakit hati mendengar kata-kata tuan putera sudah tidak dapat menahan perasaan lagi. Sanggup tuan putera berkata demikian padanya. Baginya walaupun dia tahu dirinya tidak cantik, sekurang-kurangnya, kata-kata perlulah berlapik. Terus hormatnya pada tuan putera hilang sama sekali. Dengan perasaan marah, dia terus mendekatkan mukanya pada wajah tuan putera dan melepaskan tangan yang membaluti mukanya tadi.

“Hah..puas hati tak? Buruk tak saya? Burukkan?!”

Tuan putera terus tergamam melihat wajah Akma. Dia terus terkaku disitu, tidak bergerak langsung. Wajah Akma dapat dilihat dengan jelasnya kerana cahaya lampu yang terang menyuluh tepat ke wajahnya.

“Ha..kenapa jadi batu? Awak tu handsome sangat ke? Mari saya tengok!” Akma terus meraba muka putera yang masih lagi samar-samar pada pandangannya. Didekatkan mukanya ke wajah tuan putera kerana ingin melihat dengan lebih jelas. Tuan putera tidak menolak hanya membiarkan sahaja.

Setiap inci wajah putera itu diterokainya. Hidungnya, lantas Akma dengan sengaja memicit hidung yang mancung itu. Terjerit seketika tuan putera sambil menepis tangan Akma. Padan muka, desis hati Akma.

Bibirnya elok terletak, Akma mengecilkan matanya untuk melihat mata tuan putera. Hmm..matanya memancar.. cantik juga..sempat lagi Akma memberi pandangan walaupun hatinya mendidih ketika itu. Adakah.. adakah mata itu sedang merenungnya tika ini?

Akma terus menarik tangannya semula apabila dilihat sepasang mata itu merenungnya lembut tanpa berkedip. Akma tidak pasti makna renungan itu. Apakah maknanya? Matanya yang kuyu itu menggamit pandangan Akma. Akma juga tidak dapat mengalihkan pandangannya daripada mata itu. Mereka saling merenung antara satu sama lain lama…………
            


MATA itu.....

No comments:

Post a Comment